Tipu Daya Iblis… Pertempuran yang Tidak Pernah Reda
Tipu Daya Iblis… Pertempuran yang Tidak Pernah Reda
Oleh: Yasin Muhammad Amin Al-Kubaisi
Pendakwah
Sejak Iblis dihalau dari Syurga dan dijauhkan dari rahmat Allah, Iblis telah mengisytiharkan perang terbuka terhadap manusia — perang yang tidak mengenal damai dan tidak mengenal belas kasihan. Allah menceritakannya dalam al-Quran:
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
“(Iblis) berkata: Wahai Tuhanku, oleh kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan memperelokkan (maksiat) bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,
kecuali hamba-hamba-Mu di kalangan mereka yang ikhlas (lagi dipilih).”
(Surah al-Hijr: 39–40)
Dan Allah SWT juga berfirman:
ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ
“Kemudian aku akan datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka dan dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka itu bersyukur.”
(Surah al-A‘raf: 17)
Pertempuran ini sudah wujud sejak manusia diciptakan dan lawannya ialah musuh yang sangat memahami jiwa manusia, mengetahui pintu-pintu masuknya, dan bertekad menyesatkannya dengan segala cara.
Namun Iblis tidak datang kepada manusia dengan wajah yang nyata, dan tidak menyuruh mansuia kufur secara serta-merta. Dia sedar bahawa sesiapa yang menentang keimanan secara terbuka akan tewas dengan cepat. Sebaliknya dia menyusup perlahan-lahan, dengan bisikan yang bertahap-tahap. Dia membuka satu pintu kecil terlebih dahulu, kemudian menarik manusia kepada pintu yang lebih besar. Itulah helahnya yang terbesar: tangga menuju kehancuran.
Kita ambil contoh solat yang merupakan tiang agama dan roh kepada hati. Iblis tidak berkata kepada manusia: “Tinggalkan solat.” Tetapi dia bermula dengan langkah yang tersembunyi: dia membuatkan mansuia ragu tentang wuduk, melengah-lengahkan manusia dengan urusan lain, kemudian berbisik: “Tidak mengapa jika sunnah itu kamu lewatkan sedikit.” Lalu manusia mula memandang ringan, kemudian lalai, hingga akhirnya meninggalkan.
Maka runtuhlah benteng pertama di antara manusia dengan Allah iaitu benteng amalan sunat. Benteng yang orang beriman daripada kelalaian dan nafsu.
Setelah tembok pertama roboh, dia menukar arah kepada solat fardhu terutamanya solat Subuh dan Isyak yang dikhabarkan oleh Nabi ﷺ sebagai “paling berat bagi orang munafik.” Dia membuat manusia berjaga malam kerana hiburan, menggunakan gajet atau perbualan yang sia-sia, sehingga mata menjadi berat ketika waktu pertemuan dengan Tuhan.
Jika sehari tertinggal solat, mungkin akan timbul rasa bersalah. Hari kedua manusia mula mencari alasan. Hari ketiga ia menjadi kebiasaan. Di sini Iblis berjaya meyakinkan manusia bahawa lewat itu tidak mengapa, dan niat sudah memadai walhal tembok kedua telah pun runtuh.
Kemudian dia membawa kamu selangkah lagi. Hati yang sudah biasa meninggalkan solat akan menjadi keras. Lalu muzik dan hiburan menakluki jiwa. Inilah saat paling berbahaya, kerana hati yang seronok dengan kebatilan tidak lagi memandang mungkar sebagai mungkar bahkan hidup sebati bersamanya sehingga menjadi sebahagian dari kehiudupannya.
Ibn al-Qayyim berkata dalam al-Dawa’ wa al-Dawa’: “Sesungguhnya rasa suka yang berlebihan terhadap imej atau visual adalah antara punca kebinasaan yang paling besar. Gambar dan suatu yang berbentuk visual tersimpan dalam ingatan, lalu mengganggu kekhusyukan ketika sujud dan memadamkan rasa takut kepada Allah hinggakan ada yang sujud kepada Allah namun bayang maksiat masih bermain di fikirannya — na‘uzubillāh..
Iblis terus menipu dengan meruntuhkan tembok satu demi satu, sehingga manusia mendapati dirinya tenggelam dalam kelalaian. Tidak sedar bila kejatuhan itu bermula. Setiap darjat kejatuhan bermula dengan satu langkah kecil yang dianggap ringan, lalu menjadi kebiasaan, kemudian bertukar menjadi rantai yang mengikatnya daripada kembali ke jalan Allah.
Mungkin ada yang berkata: “Meninggalkan sunnah tidak dianggap satu dosa.” Benar — tetapi seseorang itu akan kehilangan limpahan rahmat, kelazatan munajat dan kehalusan iman. Apakah kita merasakan diri cukup tanpa pahala? Bukankah setiap sujud sunat mungkin menjadi penyelamat daripada bala yang bakal datang? Bukankah dua rakaat Dhuha itu membawa rezeki dan ketenangan? Sesiapa yang memandang ringan amalan sunat sebenarnya memandang ringan kunci rahmat yang mendekatkannya kepada Allah.
Apabila seseorang leka terhadap sunnah, akan mudahlah dia meninggalkan fardu. Apabila fardu runtuh, runtuhlah iman dan keinginan untuk beramal. Hati menjadi mudah ditembusi, akal pula suka membenarkan kesalahan, dan jiwa merasa tenang dengan dosa. Ketika itu Iblis ketawa puas kerana telah mencapai tujuannya tanpa menghunus pedang atau meninggikan suara.
Namun demikian, pintu Allah tidak pernah tertutup selagi nafas masih berdenyut di dada. Sentiasa ada peluang untuk membina semula keimanan. Nabi ﷺ bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
“Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang bertaubat.”
Taubat bukan sekadar kata-kata, tetapi membina kembali tembok yang telah runtuh bermula dengan wuduk yang penuh khusyuk, solat pada awal waktu, kemudian menambah amalan sunat antara dua fardu sehingga hati kembali hangat dengan keimanan.
Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:
“إن في الدنيا جنة، من لم يدخلها لم يدخل جنة الآخرة.”
“Sesungguhnya di dunia ini terdapat sebuah syurga; sesiapa yang tidak memasukinya di dunia, dia tidak akan memasuki Syurga Akhirat.”
Syurga itu ialah keindahan dekat dengan Allah iaitu tempat ketenangan dan keredaan. Mungkin ada yang berkata: “Tiada rehat di dunia.” Tetapi orang beriman tahu bahawa rehat bukan pada harta atau pangkat, tetapi pada sujud yang ikhlas, air mata yang mengalir tanpa diketahui oleh sesiapa kecuali Allah. Rasa dekat dengan Penciptanya. Jika mansuia menemui ketenangan dalam ketaatan, ketahuilah bahawa manusia itu sudah berada di jalan menuju Syurga Akhirat. Namun jika manusia masih terasa berat untuk beribadah, ketahuilah ada ruang dalam dirinya yang telah dimasuki Iblis. Maka tutuplah segera sebelum ia menjadi semakin luas.
Pertempuran manusia dengan Iblis bukanlah perang fizikal atau ketenteraan, tetapi perang tarbiyah, keazaman dan iman. Maka ajarlah anak-anak kita bagaimana tipu daya syaitan bermula, dan ingatkan mereka tentang langkah-langkahnya yang tersembunyi. Generasi yang mengenali musuhnya sejak kecil adalah generasi yang sukar ditipu kerana mereka melihat perangkap sebelum melangkah ke arahnya.
Dan kepada mereka yang telah kehilangan sebahagian benteng mereka, jangan berputus asa. Bina semula. Mulakan dengan satu sunnah, satu zikir pagi, satu ayat sebelum tidur, atau satu sedekah yang tersembunyi. Iman itu seperti pokok: benih kecil yang tumbuh hari demi hari sehingga menjadi teduhan dan membawa ketenangan. Begitulah juga apabila jiwa kembali jernih, hati kembali tenang, dan hamba kembali kepada Tuhannya. Lalu gagallah tipu daya Iblis yang sejak azali berjanji untuk menyesatkan kita semua.
Artikel ini diterjemahkan oleh Unit Media, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Malaysia).
Untuk membaca artikel asal dalam Bahasa Arab sila layari:
https://iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=40706
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Malaysia)
Sila layari:


