Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Menyokong dan Mengalu-alukan “Perjanjian Mekah” demi Kesatuan dan Kemandirian Ummah

Blog post description.

8/11/20263 min read

My post content

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Menyokong dan Mengalu-alukan “Perjanjian Mekah” demi Kesatuan dan Kemandirian Ummah

09 Ogos 2026

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Allah SWT berfirman:

﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا﴾

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah.”

[Surah Āli ‘Imrān: 103]

Dan Allah SWT berfirman:

﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.”

[Surah al-Ḥujurāt: 10]

Bertitik tolak daripada ajaran Islam yang menyeru umatnya supaya bersatu, memperkukuh persaudaraan serta membina kerjasama yang erat antara negara-negara dan seluruh masyarakat Islam, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia mengalu-alukan “Perjanjian Mekah bagi Pertahanan Bersama” yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Arab Saudi, Republik Türkiye dan Republik Islam Pakistan.

Kesatuan melihat perjanjian ini sebagai satu langkah yang positif dan penting dalam memperkukuh hubungan, kerjasama serta penyelarasan antara negara-negara Islam, khususnya dalam menghadapi cabaran dan ancaman bersama.

Kesatuan turut mendoakan agar Allah SWT memberkati perjanjian ini, memberikan manfaat yang besar kepada umat Islam serta menjadikannya asas kepada kerjasama yang lebih luas demi keamanan, kestabilan, kekuatan dan kemaslahatan bersama.

Pertama: Kesatuan Ummah

Kesatuan menegaskan bahawa kesatuan ummah bukanlah sekadar slogan yang bersifat sementara, bahkan ia merupakan prinsip dan kewajipan syarak, keperluan peradaban serta kepentingan bersama.

Allah SWT berfirman:

﴿وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ﴾

“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kerana dengan demikian kamu akan menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu.”

[Surah al-Anfāl: 46]

Sehubungan itu, Kesatuan berharap agar “Perjanjian Mekah” menjadi satu langkah ke arah peralihan daripada sekadar hubungan yang semakin rapat kepada kerjasama berinstitusi dan integrasi yang praktikal.

Kesatuan juga berharap skop perjanjian ini dapat berkembang meliputi bidang politik, ekonomi, sosial, sains dan pembangunan, di samping kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Kedua: Pengaruh Tiga Negara

Kesatuan berpandangan bahawa penyatuan Kerajaan Arab Saudi, Türkiye dan Pakistan dalam perjanjian ini membawa makna strategik yang penting, berdasarkan kedudukan dan pengaruh ketiga-tiga negara yang pelbagai serta saling melengkapi dalam dunia Islam.

Kerajaan Arab Saudi mempunyai pengaruh agama, sejarah, politik, ekonomi dan kewangan. Negara ini juga menjadi tempat terletaknya dua Masjid Suci, yang menjadi tumpuan hati umat Islam dari seluruh pelosok dunia.

Türkiye pula mempunyai pengaruh politik, ketenteraan, perindustrian, ekonomi dan kewangan, di samping memiliki warisan sejarah dan peradaban yang besar.

Manakala Pakistan mempunyai pengaruh politik, ketenteraan dan strategik yang ketara, termasuk keupayaan nuklearnya.

Oleh itu, penyatuan komponen-komponen ini berpotensi menjadi teras yang berpengaruh bagi menyatukan suara umat Islam serta memperkukuh kerjasama antara negara-negara mereka, dengan izin Allah SWT.

Ketiga: Signifikasi Mekah al-Mukarramah

Perjanjian ini memperoleh makna simbolik dan kerohanian yang istimewa, kerana ia ditandatangani di Mekah al-Mukarramah pada hari Jumaat, di bumi haram yang mulia, pada hari para pemimpin ketiga-tiga negara berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Haram.

Hal ini menghidupkan kembali makna-makna yang menyatukan umat Islam serta memberikan langkah ini suatu dimensi simbolik yang melampaui dimensi politik, keselamatan dan ekonomi.

Kesatuan turut memuji Kerajaan Arab Saudi kerana menjadi tuan rumah kepada langkah ini di bumi Mekah, dengan mengambil kira kedudukannya yang istimewa dalam jiwa umat Islam serta kedudukan bumi dua Tanah Suci sebagai tempat penyatuan agama dan kerohanian umat Islam.

Hal ini menjadikan Mekah sebagai tempat yang terserlahnya makna persaudaraan, kesatuan dan kerjasama.

Keempat: Ufuk yang Lebih Luas

Kesatuan berharap agar langkah ini tidak terhenti setakat tiga negara tersebut, sebaliknya menjadi permulaan kepada satu proses Islam yang lebih luas, yang boleh disertai oleh pelbagai negara umat Islam yang berpegang kepada kesatuan Islam dan isu-isu utamanya [terutamanya isu Palestin dan Masjid al-Aqsa].

Allah SWT berfirman:

﴿وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ﴾

“Dan hendaklah kamu saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.”

[Surah al-Mā’idah: 2]

Rasulullah ﷺ bersabda:

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا

“Seorang mukmin bagi mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan; sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.”

Kesatuan menyeru para pemimpin negara-negara Islam, para ulama dan institusi-institusi mereka supaya berusaha ke arah kesatuan Islam yang menyeluruh, membina atas langkah ini, serta memanfaatkan setiap peluang yang membawa kepada penyatuan suara, pengintegrasian keupayaan, pertukaran kepentingan dan pengukuhan persaudaraan Islam.

Semua usaha ini hendaklah dilakukan demi merealisasikan keselamatan, kestabilan, kemuliaan dan maruah umat, serta kesejahteraan mereka dari sudut material dan spiritual.

Penutup

Sesungguhnya Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, dengan ini mengalu-alukan dan mendoakan keberkatan terhadap “Perjanjian Mekah bagi Pertahanan Bersama”, menegaskan bahawa kesatuan umat, penyatuan suara serta kerjasama antara negara dan rakyatnya merupakan suatu maqasid syarak dan keperluan realiti.

Apa yang menyatukan umat Islam daripada aspek akidah, persaudaraan, kepentingan dan nasib bersama adalah jauh lebih besar daripada apa yang boleh dipisahkan oleh sempadan dan perselisihan.

Kesatuan memohon kepada Allah SWT agar memberkati langkah ini, menjadikannya pembuka jalan kepada kebaikan untuk umat Islam, menjadi teras kepada kerjasama yang lebih luas dan integrasi yang lebih menyeluruh, menyatukan hati umat Islam serta menghimpunkan suara mereka di atas kebenaran dan kebaikan, dan mengurniakan kepada mereka keamanan, kestabilan, kemuliaan dan kekuatan.

Allah SWT berfirman:

﴿وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ﴾

“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kerana dengan demikian kamu akan menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu.”

[Surah al-Anfāl: 46]

“Dan Allah mengetahui tujuan yang dimaksudkan, dan Dialah yang memberi petunjuk ke jalan yang lurus.”

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia

Doha: 26 Safar 1448H

Bersamaan: 09 Ogos 2026M

Kenyataan ini diterjemahkan oleh Unit Media, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Malaysia). Sebarang komen atau pertanyaan boleh email kami di kesatuanulama@gmail.com.

Untuk membaca teks asal dalam bahasa Arab sila layari.

https://iumsonline.org/archives/136352

Untuk membaca artikel-artikel lain dalam bahasa Melayu, sila layari

https://ittihadmalaysia.org/

+6014 820 7111

© 2025. All rights reserved.