Menyentuh Kehormatan Ahlul Bait dan Para Sahabat Adalah Suatu Fitnah

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menyeru seluruh umat Islam agar bersatu, berpegang teguh kepada prinsip-prinsip agama yang tetap, mengamalkan sikap wasatiyyah (kesederhanaan), serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabat Rasulullah SAW secara bersama.

BLOG

7/23/20269 min read

My post content

Menyentuh Kehormatan Ahlul Bait dan Para Sahabat Adalah Suatu Fitnah

بسم الله الرحمن الرحيم

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menyeru seluruh umat Islam agar bersatu, berpegang teguh kepada prinsip-prinsip agama yang tetap, mengamalkan sikap wasatiyyah (kesederhanaan), serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabat Rasulullah SAW.

Kesatuan ini mengecam sekeras-kerasnya sebarang serangan terhadap Ahlul Bait serta para sahabat yang mulia, serta menegaskan bahawa mencemarkan kehormatan kedua-dua golongan tersebut adalah suatu kesesatan dan fitnah.

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia sentiasa mengikuti perkembangan keadaan umat Islam yang kini berpecah-belah, berselisih secara serius, dan mengalami kemunduran yang besar pada masa ini.

Keadaan tersebut berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk faktor luaran yang diketahui umum, serta faktor dalaman yang lebih berbahaya. Allah SWT mengaitkan musibah dan bencana yang menimpa umat dengan faktor dalaman tersebut sebagaimana firman-Nya:

أَوَلَمَّآ أَصَـٰبَتْكُم مُّصِيبَةٌۭ قَدْ أَصَبْتُم مِّثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّىٰ هَـٰذَا ۖ قُلْ هُوَ مِنْ عِندِ أَنفُسِكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

"Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah, padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali ganda kepada musuh, kamu berkata: Dari manakah datangnya (musibah) ini? Katakanlah: Ia adalah daripada diri kamu sendiri."

(Surah Ali 'Imran: 165)

Antara faktor dalaman itu ialah kemunculan fatwa-fatwa yang ganjil dan menyimpang, aliran-aliran ekstrem yang telah memecah-belahkan umat Islam, mengkafirkan mereka yang tidak sehaluan dengan manhaj atau pandangan mereka hanya berdasarkan syubhah yang lemah dan andaian yang tidak berasas.

Di samping itu, muncul pula fahaman keganasan yang dibawa oleh sebahagian kumpulan bersenjata sehingga mengorbankan nyawa umat Islam dan memusnahkan negeri-negeri mereka atas nama "islah", sedangkan hakikatnya mereka bukanlah golongan yang melakukan pembaikan.

Walaupun kebanyakan aliran dan kumpulan ekstrem ini akhirnya gagal serta terbongkar penyelewengannya, namun mereka telah memberikan gambaran yang buruk terhadap Islam serta menjadi alasan yang kuat bagi pihak tertentu untuk memusuhi Islam, termasuk Islam dalam wajahnya yang sebenar yang indah, sederhana, sebagai "rahmat bagi seluruh alam", penyembuh, nasihat, hikmah dan neraca keadilan.

Pada hari ini pula, kita menyaksikan satu lagi bentuk konflik yang amat berbahaya melalui kebangkitan fahaman "al-Nawasib", sebagai reaksi terhadap fahaman "al-Rafidah" yang menghina para sahabat Rasulullah SAW dan isteri-isteri Baginda SAW. Sebagai tindak balas, muncul pula golongan yang merendahkan kedudukan Ahlul Bait Rasulullah SAW yang mulia, bukan sahaja terhadap tokoh-tokoh semasa, bahkan sehingga membenci atau memperkecilkan kedudukan para pendahulu yang telah disepakati kelebihan mereka oleh seluruh orang beriman, seperti Amirul Mukminin Saidina Ali bin Abi Talib RA, Amirul Mukminin Saidina Hasan RA dan Saidina Husain RA, penghulu para pemuda syurga.

Sebaliknya, golongan Rafidah pula telah melampaui batas dalam kesesatan mereka sehingga mencela Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA, Saidina Umar al-Faruq RA, Saidina Uthman Zunnurain RA serta Ummul Mukminin Saidatina Aisyah RA.

Lebih membimbangkan lagi ialah kecenderungan golongan Nawasib baharu yang melemahkan hadis-hadis sahih berkaitan kelebihan Ahlul Bait secara khusus, walaupun hadis-hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, atau salah seorang daripada keduanya, ataupun telah disahihkan oleh para ulama hadis yang muktabar. Sedangkan hadis-hadis tersebut tidak pun dijadikan asas kepada hukum-hakam syarak.

Sehubungan dengan itu, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menegaskan bahawa pendiriannya adalah selaras dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, iaitu menolak kedua-dua fahaman al-Nasb dan al-Rafd, kerana kedua-duanya batil dan bercanggah dengan manhaj Islam yang sebenar.

Kesatuan ini menzahirkan kasih sayang dan penghormatan kepada Ahlul Bait Rasulullah SAW serta para sahabat Baginda yang mulia. Kami sentiasa berusaha mencari tafsiran terbaik terhadap mereka, bersangka baik kepada mereka, serta beriltizam mengikuti jejak langkah mereka dengan sebaik-baiknya sambil berdoa dengan penuh pengharapan:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

"Ya Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah lebih dahulu beriman daripada kami. Janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan dengki terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."

(Surah al-Hasyr: 10)

Kesatuan ini turut menegaskan bahawa Ahlul Bait Rasulullah SAW, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah wafat, merupakan kesinambungan kepada keluarga Nabi Ibrahim AS. Kemuliaan mereka serta hukum-hakam yang berkaitan dengan mereka tetap berkekalan sehingga Hari Kiamat.

Terdapat banyak hadis sahih yang menjelaskan kelebihan Ahlul Bait. Oleh itu, Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengetahui, mengiktiraf dan memelihara hak, kelebihan dan kemuliaan mereka.

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًۭا

"Sesungguhnya Allah hanya bermaksud hendak menghilangkan segala kekotoran daripada kamu, wahai Ahlul Bait, dan menyucikan kamu sesuci-sucinya."

(Surah al-Ahzab: 33)

Imam al-Hakim meriwayatkan dalam al-Mustadrak (no. 4764) dan menilainya sahih menurut syarat Imam al-Bukhari. Hadis yang sama turut diriwayatkan oleh al-Tabarani, Imam Ahmad, al-Nasa'i dan al-Ajurri daripada Ummu Salamah RA bahawa ayat tersebut diturunkan di rumah beliau. Lalu Rasulullah SAW memanggil Saidina Ali RA, Saidatina Fatimah RA, Saidina Hasan RA dan Saidina Husain RA seraya bersabda:

اللَّهُمَّ هَؤُلَاءِ أَهْلُ بَيْتِي

"Ya Allah, mereka inilah Ahlul Baitku."

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa sanad hadis tersebut adalah baik dan mempunyai banyak jalur riwayat.

Antara kelebihan mereka juga ialah sabda Rasulullah SAW:

الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ سَيِّدَا شَبَابِ أَهْلِ الْجَنَّةِ

"Hasan dan Husain ialah penghulu para pemuda syurga."

Selain itu, Ummu Salamah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina Ali RA:

لَا يُحِبُّكَ إِلَّا مُؤْمِنٌ، وَلَا يُبْغِضُكَ إِلَّا مُنَافِقٌ

"Tidak mencintaimu melainkan seorang mukmin, dan tidak membencimu melainkan seorang munafik."

Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menegaskan bahawa terdapat banyak hadis sahih yang menjelaskan kelebihan Ahlul Bait, khususnya Saidina Ali RA, Saidatina Fatimah RA, Saidina Hasan RA dan Saidina Husain RA.

Sebagai contoh, memadailah dengan apa yang dinyatakan oleh Imam Abu Bakar al-Ajurri (w. 360H) dalam kitabnya al-Syari‘ah, yang merupakan antara kitab akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang paling masyhur.

Beliau memperuntukkan beberapa bab khusus mengenai kelebihan Ahlul Bait dan menghimpunkan banyak hadis yang sahih.

Kemudian beliau berkata:

"Aku telah menyebutkan beberapa kelebihan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib RA, Fatimah RA, Hasan RA dan Husain RA yang sempat aku himpunkan. Sesungguhnya kelebihan mereka amat banyak dan sangat agung.

Aku juga akan menyebut secara umum tentang kelebihan Ahlul Bait yang telah disebut oleh Allah SWT dalam beberapa tempat di dalam al-Quran. Allah juga memerintahkan Nabi-Nya SAW supaya bermubahalah dengan mereka melalui firman-Nya:

فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَآءَنَا وَأَبْنَآءَكُمْ وَنِسَآءَنَا وَنِسَآءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ ٱللَّهِ عَلَى ٱلْكَٰذِبِينَ

'Katakanlah: Marilah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian kita bermubahalah, lalu kita memohon agar laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta.'

(Surah Ali 'Imran: 61)

Yang dimaksudkan ialah Saidina Ali RA, Saidatina Fatimah RA, Saidina Hasan RA dan Saidina Husain RA.

Rasulullah SAW juga bersabda:

كُلُّ سَبَبٍ وَنَسَبٍ وَصِهْرٍ مُنْقَطِعٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَّا سَبَبِي وَنَسَبِي وَصِهْرِي

'Setiap hubungan keturunan, persemendaan dan nasab akan terputus pada Hari Kiamat kecuali hubungan keturunan, persemendaan dan nasab denganku.'

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ibn Khuzaimah dan al-Tabarani dengan sanad yang sahih.

Al-Ajurri kemudian menjelaskan bahawa Ahlul Bait merangkumi Saidina Ali RA, Saidatina Fatimah RA, Saidina Hasan RA, Saidina Husain RA, Ja'far al-Tayyar RA, seluruh zuriat Saidina Ali RA, seluruh zuriat Saidatina Fatimah RA, seluruh keturunan Hasan dan Husain RA, anak cucu mereka yang diberkati, serta zuriat Saidatina Khadijah RA. Semoga Allah meredai mereka semua.

Para imam hadis dan fuqaha seperti Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad serta para penyusun kitab-kitab Sunan dan Musnad telah memberikan perhatian yang besar terhadap pengumpulan hadis-hadis mengenai kelebihan Ahlul Bait, khususnya Saidina Ali RA, Saidatina Fatimah RA, Saidina Hasan RA dan Saidina Husain RA.

Sebagai contoh, Imam al-Bukhari telah menyusun bab-bab khusus dalam kitab Sahihnya seperti:

Bab Kelebihan Ali bin Abi Talib al-Qurasyi al-Hashimi Abu al-Hasan RA, yang memuatkan tujuh hadis.

Bab Kelebihan Ja'far bin Abi Talib RA yang memuatkan dua hadis.

Bab Kelebihan Kerabat Rasulullah SAW dan Saidatina Fatimah RA.

Bab Kelebihan Saidina Hasan RA dan Saidina Husain RA yang menghimpunkan lapan hadis.

Demikian juga dilakukan oleh para imam hadis yang lain.

Ayat al-Quran dan Hadis Mengenai Kelebihan Para Sahabat dan Isteri-Isteri Nabi SAW

Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menjelaskan kelebihan isteri-isteri Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda terlalu banyak untuk dihimpunkan dalam kenyataan ini. Antara yang dapat disebut ialah:

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

"Dan orang-orang yang beriman, berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberikan tempat tinggal serta pertolongan (kepada mereka), merekalah orang-orang mukmin yang sebenar. Bagi mereka keampunan dan rezeki yang mulia."

(Surah al-Anfal: 74)

Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَٰهَدُوا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِۚ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ

"Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka mempunyai darjat yang lebih tinggi di sisi Allah, dan merekalah orang-orang yang berjaya."

(Surah al-Taubah: 20)

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَهُمۡۖ

"Muhammad itu ialah utusan Allah. Orang-orang yang bersama baginda bersikap tegas terhadap orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka..."

(Surah al-Fath: 29)

Selain itu, terdapat begitu banyak hadis mengenai kelebihan para sahabat sehingga para ulama telah menulis kitab-kitab khusus mengenainya. Antaranya:

Rasulullah SAW pernah ditanya:

"Siapakah manusia yang paling baik?"

Baginda menjawab:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

"Generasiku, kemudian generasi selepas mereka, kemudian generasi selepas mereka."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا، مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلَا نَصِيفَهُ.

"Janganlah kamu mencela seorang pun daripada para sahabatku. Demi Allah, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud, nescaya tidak akan dapat menyamai satu mud atau bahkan separuh mud daripada apa yang mereka infakkan."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Adapun mengenai kelebihan isteri-isteri Rasulullah SAW, memadailah bahawa Allah SWT telah memuliakan mereka dengan gelaran "Ibu-Ibu Orang Beriman", sebagaimana firman-Nya:

وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ ۗ

"Dan isteri-isteri Nabi itu adalah ibu-ibu bagi orang-orang yang beriman."

(Surah al-Ahzab: 6)

Allah SWT juga berfirman:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ

"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu tidaklah sama seperti wanita-wanita yang lain sekiranya kamu bertakwa."

(Surah al-Ahzab: 32)

Demikian juga Allah SWT telah memuji generasi awal umat Islam dengan firman-Nya:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia."

(Surah Ali 'Imran: 110)

Oleh itu, pendirian Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sama ada dalam kalangan fuqaha, muhaddithin mahupun umat Islam seluruhnya, amat jelas iaitu mencintai para sahabat Rasulullah SAW, memuliakan isteri-isteri Baginda, serta mencintai dan menghormati Ahlul Bait Baginda.

Mereka tidak terpengaruh dengan sikap melampau sama ada golongan yang berlebihan memuji mahupun yang berlebihan mencela. Kebenaranlah yang wajib diikuti. Mereka meyakini bahawa mencintai para sahabat dan Ahlul Bait merupakan tanda keimanan yang sebenar, manakala membenci mereka merupakan salah satu tanda kemunafikan.

Sebagaimana kaum Ansar telah melindungi Rasulullah SAW di Madinah, demikian juga Ahlul Bait dan kaum kerabat Baginda telah melindungi Baginda di Makkah. Antaranya, bapa Saidina Ali RA bersama Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib sanggup menanggung pemulauan Quraisy selama tiga tahun demi mempertahankan Rasulullah SAW, meskipun sebahagian daripada mereka ketika itu belum memeluk Islam.

Berdasarkan penjelasan di atas, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menegaskan perkara-perkara berikut:

1. Menolak fahaman Nawasib baharu

Kesatuan menolak sama sekali kemunculan fahaman Nawasib baharu yang menyebarkan kebencian terhadap Ahlul Bait Rasulullah SAW atau memperkecilkan kedudukan dan kemuliaan mereka.

Kesatuan juga menegaskan penolakannya terhadap setiap pandangan, ucapan atau mazhab yang mencela para sahabat Rasulullah SAW dan isteri-isteri Baginda SAW (RA), atau merendahkan kedudukan mereka. Kedua-dua bentuk penyimpangan ini adalah ditolak, diharamkan dan menjadi punca perpecahan umat Islam.

Pada masa yang sama, sekiranya terdapat kesilapan yang dilakukan oleh individu yang dinisbahkan kepada Ahlul Bait atau yang mendakwa mengikuti mereka, maka kesalahan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mencemarkan kemuliaan mereka yang terdahulu daripada kalangan Ahlul Bait yang telah diakui kelebihan mereka, atau mereka yang tetap istiqamah meneladani jalan hidup yang mulia itu.

2. Pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengenai Khulafa' al-Rasyidin dan Ahlul Bait

Ahlus Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa Khilafah al-Rasyidah yang berjalan di atas manhaj kenabian meliputi pemerintahan:

Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA;

Saidina Umar al-Faruq RA;

Saidina Uthman bin Affan RA; dan

Saidina Ali bin Abi Talib RA.

Tempoh Khilafah al-Rasyidah turut disempurnakan dengan beberapa bulan pemerintahan Saidina Hasan RA sebelum beliau menyerahkan jawatan khalifah demi kepentingan umat Islam serta bagi menghentikan pertumpahan darah sesama kaum Muslimin.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah juga meyakini bahawa Saidina Husain RA merupakan cucu kesayangan Rasulullah SAW, seorang imam yang agung yang berusaha mengembalikan Khilafah al-Rasyidah, namun Allah SWT tidak mentakdirkannya berlaku. Beliau ialah penghulu para pemuda syurga. Mencintai beliau merupakan satu ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kami juga meyakini bahawa Saidina Husain RA telah dibunuh secara zalim sebagai seorang syahid, dan pembunuhan beliau merupakan suatu jenayah yang amat besar. Allah SWT berfirman:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya, melaknatnya dan menyediakan baginya azab yang amat besar."

(Surah al-Nisa': 93)

Oleh itu, Saidina Husain RA mempunyai kedudukan yang amat mulia dalam hati Ahlus Sunnah Wal Jamaah tanpa sebarang sikap melampau terhadap dirinya.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah juga memberikan kesaksian tentang kemuliaan Khulafa' al-Rasyidin, sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga (al-'Asharah al-Mubashsharah), Saidina Hasan RA, Saidina Husain RA, ibu mereka Saidatina Fatimah RA sebagai penghulu wanita sekalian alam, serta seluruh Ummul Mukminin sebagai penghuni syurga.

3. Menghormati disiplin ilmu hadis

Kesatuan menegaskan bahawa kepakaran dan disiplin ilmu mestilah dihormati, khususnya dalam bidang hadis.

Oleh itu, tidak harus melemahkan hadis-hadis yang sahih melainkan berdasarkan metodologi ilmiah yang teliti sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama hadis yang muktabar.

Begitu juga hadis-hadis yang sahih sanadnya serta telah diterima oleh umat Islam sepanjang zaman tidak boleh diketepikan atau dipandang ringan.

4. Keutamaan menyatukan umat Islam

Sesungguhnya umat Islam pada hari ini amat memerlukan usaha menyembuhkan luka akibat perpecahan dan fitnah yang telah melemahkan kekuatan mereka.

Oleh itu, para ulama dan ilmuwan Islam hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang perselisihan, memperkukuhkan perdamaian, membina persefahaman, serta mengukuhkan kesatuan umat dalam menghadapi pelbagai cabaran besar yang mengancam kewujudan dan masa depan umat Islam.

5. Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Ahlus Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa mencintai Ahlul Bait Rasulullah SAW adalah suatu kewajipan, tanpa sikap melampau (ghuluw), tanpa berlebih-lebihan, dan tanpa mengabaikan hak mereka.

Demikian juga mencintai serta menghormati para sahabat Rasulullah SAW merupakan sebahagian daripada akidah dan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Dalam masa yang sama, mereka meyakini bahawa tiada seorang pun yang maksum selain Rasulullah SAW, yang telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan kenabian dan kemaksuman.

Kesatuan mengakhiri kenyataan ini dengan doa Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

"Ya Tuhan kami! Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam keimanan. Janganlah Engkau jadikan dalam hati kami sebarang perasaan dengki terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."

(Surah al-Hasyr: 10)

Setiausaha Agung

Dr. Ali Muhammad al-Sallabi

Presiden

Prof. Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi

Kenyataan ini diterjemahkan oleh Unit Media, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Malaysia). Sebarang komen atau pertanyaan boleh email kami di kesatuanulama@gmail.com

Untuk membaca teks asal dalam bahasa Arab sila layari.

https://iumsonline.org/archives/132875

Untuk membaca artikel-artikel lain dalam bahasa Melayu, sila layari

https://ittihadmalaysia.org/

+6014 820 7111

© 2025. All rights reserved.